Makanan Sunnah

MAKANAN SUNNAH

Mengapa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru agar umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian. Sudah tentu adanya hikmah dan kelebihan yang dapat membantu manusia menjalani kehidupan sebagai hamba Allah SWT dengan lebih baik.

HALAL membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat.

Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan ummah.

Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah, ayat 168)

Ayuh, mari kita lazimi produk halal Thoyyiba dalam kehidupan kita.
Makanan Halal, Membantu membentuk Keluarga bahagia, Masyarakat Sejahtera

Firman Allah SWT:
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezkikan kepadamu, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.”
(QS Al-Maidah: 88)

Antara kebaikan kita melazimi yang halal dalam kehidupan seharian kita ialah, mustajabnya doa hamba itu.
Seorang sahabat bernama Saad bin Abi Waqqas r.a. pernah memohon kepada Rasulullah s.a.w.;

“Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar aku dimustajabkan doa”.
Lalu Rasulullah berkata kepadanya;

“Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”.
(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Ayuh, mari kita lazimi produk halal Thoyyiba dalam kehidupan kita. Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan halal dan bersih kerana makanan haram yang dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan mendalam terhadap tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan doa kepada Allah SWT.

Makanan memiliki pengaruh yang amat besar terhadap perkembangan fizikal badan, jiwa, emosi dan minda. Kata para saintis cerdik pandai, otak kita tidak akan berfungsi dengan betul, bahkan jiwa mudah saja menjadi pesimis andai kita tidak dibekalkan makanan lebih dari tempoh 20 jam.

Begitu juga sebaliknya, dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan teratur, anda mampu bertindak lebih efisien, cerdas, lebih bersemangat & yakin diri bahkan kelihatan amat ‘berkuasa’.

Kepada para ibubapa, tentu ingin mempunyai anak yang soleh dan solehah. Oleh itu berikanlah rezeki yang halal kepada anak-anak. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak .

Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.

Oleh itu, usah hanya beretorik tentang halal haram, seandainya diri kita sendiri tidak memulakan menggunakan dan mengambil makanan, minuman dan produk kesihatan, penjagaan diri, alatan lain yang halal lagi thoyyiba.

Oleh yang demikian, adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab umat Islam pada hari ini untuk lebih berhati-hati dan mengambil berat berkaitan pemakanan halal ini.

Hendaklah kita sentiasa memastikan bahawa setiap makanan yang diperoleh dan di makan itu adalah halal menurut syariat Allah SWT. Sesungguhnya suruhan Allah SWT ini adalah untuk tujuan dan kebaikan manusia bersama.

Makanan yang amat digalakkan kita mengambilnya adalah Makanan Sunnah. Makanan Sunnah adalah makanan atau minuman yang Baginda Rasulullah suka dan senantiasa mengambilnya. Diantara Makakan Sunnah adalah Kambing, Delima, Kurma, Tin, Zaitun, Za’faran, Kismis, Madu dan Susu Kambing.

KURMA

A. Yang Dipilih Para Rasul
Lebih 1400 tahun buah yang berkhasiat ini dianugerahkan kepada manusia dikenali menurut sejarah.

Masyarakat di seluruh dunia kini mengiktiraf buah yang tahan lasak atas kemampuannya tumbuh di padang pasir dari Timur Tengah Arab ini sebagai makanan wajib harian atas keberkesanannya dalam memberi tenaga, membantu memperkemaskan sistem fungsi tubuh dan otak.

B. Sejarah
Dalam sejarah Islam, antara fakta yang amat popular mengenai kurma yang amat tinggi khasiat ini adalah catatan sejarah Saidatina Maryam ‘Alaihissalam ketika mahu melahirkan Nabi Isa ‘Alaihissalam dirakam di dalam Al-Quran;

“(Ketika ia hendak bersalin) maka kesakitan itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma)”;
[Al-Quran [17] Surah Maryam [Ayat 23]]

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:
“Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.”
[Al-Quran [17] Surah Maryam [Ayat 25 – 26]

C. Kurniaan umpama hadiah dari Allah untuk kita
Jika dari sudut logik akal manusia, seorang ibu yang baru bersalin perlu mengamalkan gabungan pelbagai jenis makanan untuk menggantikan kembali kepada si ibu yang kehilangan banyak tenaga dan darah, tetapi kesemuan itu Allah lengkapkan hanya dengan satu jenis makanan yakni kurma.

Kurma tinggi kandungan Thiamin (Vitamin B1) yang mana digunakan dalam perawatan sebagai pencuci bagi mengatasi masalah usus.

Dalam bentuk cecair, sirup dan kanji, kurma mampu membantu mengatasi masalah sakit tekak, selsema, katar bronkus dan diambil untuk meredakan demam dan pelbagai masalah berkaitannya.

Ia juga satu amalan tradisional yang dipercayai mampu mengatasi masalah toksin alkohol. Biji kurma juga digunakan dalam beberapa rawatan tradisional. Kebiasaannya seorang ibu perlu berpantang pelbagai jenis makanan semasa hamil dan selepas bersalin bagi memastikan badan ibu dan bayi berada dalam situasi terbaik.

Jika kurma amat sesuai untuk ibu-ibu hamil dan selepas bersalin dalam menambah tenaga, darah yang berkurangan dan sistem pencernaan yang terbaik, sudah pasti ia baik untuk diamalkan oleh semua golongan usia…!

Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan Saidatina Maryam ‘Alaihissalam memakan buah kurma, sudah pasti ia adalah kurniaan terbaik dariNya dengan berfirman kepada Saidatina Maryam ‘Alaihissalam; “bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan…”.

Bayangkan seorang ibu yang bersalin keseorangan di padang pasir yang terpencil tanpa bantuan orang lain. Dalam keadaannya yang lemah lagi tidak berdaya akibat bertarung nyawa dalam melahirkan anaknya, kehilangan tenaga dan kehilangan darah yang banyak sekali.

D. Keberkatan

Makanan Pilihan Rasul, Ulama’ dan Ahli Ibadah

Daripada Salman ibn ‘Aamir, Sesungguhnya Rasulullah Sallaallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Jika salah seorang di antara kamu hendak berbuka puasa, berbukalah dengan kurma sebab kurma itu barakah (berkat), kalau tidak ada maka dengan air kerana air itu bersih dan suci.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman adalah buah tamar”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya:
“Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya (bertahnik) dengan buah kurma. (dijelaskan tambahan dalam riwayat Imam Bukhari) “… maka Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mendoakan kebaikan dan mendoakan keberkatan baginya, lalu menyerahkan kembali kepadaku.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

E. Kesihatan & Kekuatan Jasmani & Rohani

Kurma Menenangkan Perasaan
Di dalam Al-Quran Surah Maryam Ayat 26, Allah Subhanahu Wata’ala berfirman kepada Saidatina Maryam ‘Alaihissalam;

“…bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan”. Cuba renungkan bukti saintifik ini yang ditemui oleh mereka yang pakar;

“Amalan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan tamar (kurma) adalah baik sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, disamping asid amino, antaranya triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan”.
– Dr Suriya Osman

Kurma Memelihara Kesihatan
Berdasarkan kajian kimia dan fisiologi Dr Ahmad Abdul Ra’ouf Hisyam dan Dr Ali Ahmad Syahhat, data berikut diperolehi:

Memakan ruthab dan/atau tamar ketika berbuka puasa akan meanmbahkan peratus kandungan glukosa dan sukrosa dalam badan.

Penyakit anemia (kurang darah) akan berkurangan dan tubuh tidak pucat.

Ketika perut kosong, saat itulah makanan yang mengandungi nutrien glukosa dan sukrosa akan mudah dicerna dan diserap secara cepat dan maksimum. Jadi, kandungan glukosa dan sukrosa dalam ruthab dan tamar yang banyak itu menjadikan proses mencerna dan menyerap di dalam badan sangat mudah.

Ia berserat tinggi, mengandungi kalsium, potassium, folate, vitamin A, B, B1, B2, B3, C dan E, bebas lemak dan bebas kolestrol.

Amat membantu dalam mencegah penyakit kronik seperti jantung & kencing manis.

“Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang menyihatkan sel darah merah”.
– Prof. Madya Aslah Zain

MADU LEBAH

Dalam sejarah Islam fakta madu yang amat popular dirakam di dalam Al-Quran [16] Surah An-Nahl [Ayat 69] melalui perintah Allah Subhanahu Wata’ala kepada lebah;

“Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutilah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. Dengan itu keluarlah dari badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda (membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

A. Penyembuh Yang Mujarab
“Ambillah, pergunakanlah olehmu sekalian akan dua penyembuh iaitu Madu dan Al-Quran”.
(Riwayat Ibnu Majah)

Kita perlu mengambil madu setiap hari untuk kekal sihat kerana ia bukan sekadar membekalkan banyak zat malah juga didapati boleh meningkatkan tenaga, merangsang dan memperbaiki aliran darah.

B. Kuasa mencerdaskan Otak
Madu juga kaya dengan fruktosa iaitu gula ringkas yang boleh diserap terus ke dalam darah untuk memberi tenaga segera. Tidak hairanlah para penyelidik menggelar madu sebagai agen untuk mencerdaskan otak kerana apabila aliran darah lancar, lebih banyak oksigen dapat dibawa ke otak.

C. Antioksida & Menghenti Serangan Bakteria
Sungguh menarik, madu boleh menjadi antibiotik dan antiseptik bagi melawan jangkitan bakteria samada dalaman dan luaran.

Kajian penyelidik Universiti Wales mendapati bahawa madu boleh menghentikan aktiviti bakteria yang menyerang luka dan menghalang jangkitan daripada terus merebak. Benarlah seperti pesan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;

Dari Abu Hurairah, kata beliau:  Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar.”

Secara umumnya setiap titis madu mengandungi:
Vitamin – A, B1, B2, B3, C, D, E dan K
Garam Galian – Kalsium, Fosforus, Sulfur, Zat Besi, Karbon, Magnesium, Natrium, Kalium, Klorin, Iodoin, Kuprum, Mangan, Silika
Beta Karoten
Gula – Glukosa, Fruktosa dan Sakarin

Antara manfaat madu yang lain ialah:

  • Membekalkan tenaga segera. Gula dalam madu mudah dihadam dan sebagai sumber dan memulihkan tenaga
  • Membantu melawaskan sistem pencernaan
  • Membantu buah pinggang berfungsi dengan lebih baik
  • Mencergaskan dan menenangkan fikiran disebabkan banyak oksigen dibawa ke otak
  • Mengurangkan kesakitan kulit terbakar
  • Mengurangkan parut
  • Merangsang pertumbuhan sel baru dan mempercepatkan penyembuhan luka

AIR ZAM-ZAM

A. Air Yang Mulia Lagi Diberkati
Dalam peristiwa penuh bersejarah tatkala bunda Nabi Ismail ‘Alaihissalam, Siti Hajar ‘Alaihissalam berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, mencari bantuan di tengah padang pasir Makkah yang terik lagi kering bagi mendapatkan bekalan. Allah Subhanahu Wata’ala menerbitkan Air Zam-Zam berhampiran Kaabah yang sehingga kini dapat dinikmati oleh jutaan umat Islam seluruh dunia.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassllam bersabda:
“Air yang paling baik di permukaan bumi adalah Air Zam-Zam. Ia Mengandungi makanan yang bergizi dan menyembuhkan penyakit”
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

Air Zam-Zam dicipta Allah Subhanahu Wata’ala bersifat alkali. Tanpa perlu diproses dan ditambah sesuatu, ia merupakan air yang paling berkualiti, suci, bersih lagi berkhasiat. Ia diberkati dan mengenyangkan.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Zam-Zam diberkati dan mengandungi makanan bergizi”
(Hadis Riwayat Muslim)

B. Diminum dengan tujuan (niat)
Manfaat meminum Air Zam-Zam adalah semasa kita meminumnya dengan niat. Dan berniatlah bersungguh-sungguh. Seperti pesan Baginda;

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Air Zam-Zam sesuai dengan tujuan orang yang meminumnya”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

BUAH TIIN

A. Tiada Keraguan Akan Manfaatnya

Allah berfirman:
“Demi Buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman …”

Buah Tiin kaya dengan serat dan pelbagai vitamin dan mineral di dalamnya yang memberi manfaat kepada tubuh sehingga sendi-sendi mampu diperkuatkan.

B. Umpama Hadiah Dari Syurga

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
“Makanlah kamu semua dan makan darinya (Buah Tiin).

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam lagi:
“Sekiranya aku katakan sesungguhnya buah yang turun dari syurga maka aku kata ‘Inilah buahnya’. Ini kerana buah syurga tiada keraguan. Sesungguhnya ia boleh menyembuhkan penyakit buasir dan mendatangkan manfaat bagi sendi-sendi.”

Antara manfaatnya adalah:

  • Mengimbangi tekanan darah
  • Merendahkan tahap kolestrol
  • Membantu mencapai berat badan yang seimbang dan ideal
  • Membantu mengatasi angin ahmar
  • Mencegah penyakit kencing manis
  • Memerangi penyakit kanser
  • Mencegah serangan ghout, sembelit dan buasir

BUAH ZAITUN

A. Sarinya Tinggi Berzat & Bercahaya

Allah berfirman:
“Demi Buah Tiin dan Buah Zaitun, Demi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman …”

” … lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda); cahaya berlapis cahaya …”
– Al-Quran [24] Surah An-Nur [Ayat 35]

Banyak kajian ke atas Buah Zaitun memberi hasil yang memberangsangkan. Ia dipilih antara makanan yang banyak memberi manfaat bukan sahaja sebagai pengganti minyak dalam masakan, malah atas keberkesanannya mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang dianggap sebagai penyakit utama masa kini.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalllam juga bersabda:
“Gunakanlah sari Zaitun sebagai lauk pauk dan minyak, sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati”
(Riawayat At Tirmizi dan Ibnu Majah)

B. Manfaatnya

  • Membantu mangatasi masalah darah tinggi
  • Merendahkan tahap kolestrol berbahaya
  • Mengurangkan risiko serangan kanser
  • Menyihatkan kulit
  • Mengurangi terjadinya Trombosis dan Arterioklerosis (Pembuluh Darah Tersumbat dan Sempit)

HABBATUS SAUDA’

Penawar Segala Jenis Penyakit

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Waslallam bersabda:
“Tetaplah kamu dengan Habbatus Sauda’ kerana padanya adalah penawar segala jenis penyakit melainkan Ad Sam.”

Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah itu As Sam…?”

Jawab Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam; ” As Sam adalah mati…”

Sehingga ke hari ini Habbatus Sauda’ terus menerus memberikan kejutan kepada pakar perubatan atas keberkesanannya dalam mengatasi masalah kesihatan yang kronik.

Keupayaannya dalam melawan bakteria dan hampir semua masalah kesihatan kronik berkaitan kulit, saraf, darah, gula, jantung dan organ-organ dalam yang lain, pakar perubatan mengakui daya penawar yang terdapat padanya.

ZA’FARAN

A. Raja Segala Rempah

Gelaran Raja Segala Rempah adalah kerana keberkesanannya dalam menyumbang penyelesaian masalah kesihatan dan tak lupa juga kerana harganya yang senilai dengan harga emas dipasaran!

Dalam Kitab Perubatan Saidina Ali’ Thib Al Imam Ali’ halaman 381:
“Sesiapa yang mengambil Za’faran tulen dan Su’dun satu bahagian dicampurkan dengan Madu, diminum sebanyak dua misqal (sudu) pada setiap hari, dia dikagumi akan daya ingatnnya sehingga dituduh melakukan sihir…”

Selain meningkatkan daya ingatan, Za’faran juga dipercayai dapat mengatasi masalah usus, penyakit wabak kulit ‘bubonic plague’ dan cacar yang mana juga hasil ujikaji menunjukkan Za’faran berpotensi sebagai anti-kanser dan agen awet muda.

B. Manfaatnya

  • Membantu mengatasi masalah darah tinggi
  • Merendahkan tahap kolestrol berbahaya
  • Mengurangkan risiko serangan kanser

GINKGO BILOBA

Ginkgo mengandungi flavanoid glycosides dan terpenoids (gink-godes, bilobades) dan digunakan secara farmaseutikal. Banyak juga yang menyatakan kemampuan nootropic atau nutrisi-bijak yang keutamaannya berfungsi sebagai penguat daya ingatan dan anti-vertiga (mabuk laut, gayat dan seumpamanya)

Antara tiga kesan utamanya adalah:
1. Meningkatkan pelancaran darah (termasuk kitaran-mikro yakni saraf halus kebanyakan tisu dan organ yang tersumbat).
2. Melindungi tindakbalas sel beroksida yang rosak dari radikal bebas.
3. Menghalang banyak kesan PAF (platelet aggregation, blood clotting) yakni darah menjadi pekat dan menyebabkan saluran tersumbat. Masalah ini menyumbang peningkatan masalah kardiovaskular, buah pinggang dan pernafasan. Ginkgo juga dipercayai dapat membantu masalah kekejangan saraf.

DAUN SIRIH

Daun Ajaib Seribu Daya

Herba pusaka warisan ini mempunyai seribu daya sebagai satu sumber untuk kecantikan, perubatan tradisional Melayu dan juga sering diguna dalam majlis adat istiadat Melayu.

Dalam dunia perubatan tradisional Melayu, daun sirih mendahului herba-herba tempatan yang lain kerana sinonim dengan adat istiadat. Keberkesanannya dalam mengatasi pelbagai masalah kesihatan juga tidak dapat dinafikan.

Hasil kajian saintifik telah membuktikan bahawa Sirih mengandungi komponen-komponen aktif yang sangat tinggi nilainya seperti antioksidan, astrigen, ekspektoran, euginol, flavonoid, hydroxyl cavicol, polyphenol, sialagoga dan banyak lagi yang penting dalam bidang perubatan herba untuk kesihatan tubuh secara menyeluruh.

DELIMA

Delima digelar ‘superfruit’ mengandungi antioksidan yang unggul diterajui oleh asid ellagik yang berupaya melindungi kalenjar prostat, payu dara, organ paru-paru dan jantung atau system kardiovaskular. Buahnya bulat hampir sebesar limau. Berkulit keras, merah kecoklatan atau agak ungu.Isi buahnya terdiri dari butiran-butiran merah seperti kristal. Rasanya manis-manis segar.

RAHSIA PENCIPTAAN BUAH DELIMA

Di dalam Al-Quran disebut tiga tempat tentang buah “delima”.
Pertama Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: ”Dan Dia yang menurunkan air(hujan) dari langit kemudian kami mengeluarkan dari air(hujan) itu segala macam tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan sebahagian daripadanya dedaunan yang hijau(sayur mayur) dan Kami keluarkan pada sebahagian daripadanya biji-bijian yang bersusun dan Kami jadikan pula daripadanya pokok kurma yang mayangnya ada segerombolan buah kurma yang dekat untuk ambil, dan daripadanya pula Kami keluarkan kebun-kebun anggur, zaitun dan delima yang sebahagiannya mempunyai kemiripan daunnya, tetapi rasa buah yang satu berbeza dengan yang lain. Lihatlah buah-buahnya ketika sedang berbuah dan ketika telah ranum.Sesungguhnya di dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Kami bagi orang-orang beriman.” (Al-An’am:99)

Kedua Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: ”Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang bersusun dan kebun-kebun yang tidak bersusun, pokok kurma, tanaman-tanaman yang berlainan rasanya, pokok zaitun dan pokok delima yang serupa atau yang tidak serupa. Makanlah buahnya jika telah berbuah dan bayarlah zakatnya di hari kalian memetiknya. Dan janganlah kalian melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-An’am:141)

Dan ketiga Allah S.W.T. berfirman: ”Di dalam kedua syurga itu terdapat mata air yang memancar keras terus-menerus. Maka tanda-tanda kekuasaan Tuhan kalian yang mana lagi yang akan kalian dustakan?Di dalam kedua syurga itu terdapat buah-buahan, pokok kurma dan pokok delima.” ( Al-Rahman:66-68)

Imam Ghazali mengajak manusia agar merenung tentang penciptaan buah delima sebagai tanda kehebatan Allah S.W.T. dimana ia terbentuk seperti katung-katung kecil yang segar, dengan bahagian bawahnya besar dan bahagian atasnya tipis yang kelihatan seperti bukit. Kemasan yang tersusun rapi biji buah delima seakan disusun oleh manusia serta dibalut dengan kulit yang tipis seperti tenunan halus dan akhirnya ia dibalut dengan kulit yang tebal mengelilingi buah delima tersebut.Hikmah penciptaan buah delima dengan percaturan yang sebegitu rupa mempunyai nilai kehebatan yang tersendiri. Seandainya ia tidak dilapisi dengan lapisan yang halus itu, sudah tentu sari makanan tidak dapat sampai kepada biji buah delima tersebut. Dari sari makanan itulah, buah delima mempunyai rasa manis tetapi akarnya sendiri mempunyai rasa yang amat pahit. Lapisan yang membahagi ruang biji buah delima berfungsi untuk memelihara buahnya dan seluruh biji buah tersebut dilitupi dengan kulit kerras tetapi rasanya agak pahit adalah untuk menjaganya bebas daripada segala hama. Sorotan tentang kejadian ini menunjukkan kepada kita betapa setiap kejadian yang Allah ciptakan mempunyai keistimewaan tersendiri.

ASAL BUAH DELIMA

Delima berasal dari Negara Iran dikenali sebagai Punica Granatumdalam istilah botani, juga boleh didapati di India, Afghanistan dan Syria. Di zaman Nabi Musa a.s. lagi, buah delima yang bermutu di tanam di Palestin dan Lebanon. Buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan masyarakat di Timur Tengah.Bagi agama Kristian, buah delima menjadi simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal serta dalam agama Buddha, buah delima dikatakan buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China pula, buah delima menjadi simbol kesuburan, rezeki yzng melimpah ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang diberkati. Dalam agama Islam, buah delima merupakan salah satu buah yang terdapat didalam syurga yang dikurniakan Allah sebagai rezeki yang boleh dinikmati oleh umat manusia yang menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya.

KANDUNGAN YANG TERDAPAT DALAM BUAH DELIMA

Dari sudut pemakanan, buah delima kaya dengan sodium dan mengandungi unsur-unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin,niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Manakala zat protein dan lemak hanyalah sedikit sahaja terkandung di dalamnya.Buah delima disarankan dimakan dalam mengimbangi pemakanan sempurna dari kelas buah-buahan.

Menurut Ibn Qayyim Al Jauziyah, buah delima bersifat panas dan amat baik untuk menguatkan perut, tekak, dada dan paru-paru kerana ia dapat melegakan batuk. Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW daripada Ali dan Abu Nu’aim yang bermaksud:
“Buah delima dan kulitnya dapat menguatkan perut untuk penghadaman”
.
Jus buah delima dapat memberikan zat kepada badan serta menyegarkan badan dan ianya dapat dihadamkan dengan cepat kerana ianya bersifat ringan dan akan mengeluarkan haba bersama dengan angin di dalam perut. Ianya juga bertindak sebagai penawar yang baik untuk cirit-birit, anemia, tekanan darah tinggi dan atritis.Buah delima juga dapat menguatkan jantung dan membantu dalam fungsi saraf dan otot. Oleh kerana itu ia dapat menghilangkan keletihan.Bahagian kulit buah delima pula mengandungi sejenis alkaloid yang boleh mengawal beberapa jenis cacing seperti cacing pita yang mendiami perut manusia.

Rasanya yang pahit tidak sesuai untuk dimakan tidak seperti bijinya yang manis, manfaat dari rasa pahit tersebut dapat menghapuskan cacing pita dalam perut manusia.Kulitnya yang tebal pula betanggungjawab melindungi buah delima supaya dapat disimpan dengan mutu yang baik.

KEBAIKAN DAN KHASIAT BUAH DELIMA

  • Mengekalkan keadaan jantung dan hati yang sihat
  • Membersihkan hati dan saluran perkumuhan
  • Menyingkirkan lemak berlebihan
  • Meningkatkan tenaga seksual suami/isteri
  • Mencegah rasa mual
  • Menstabilkan hormon semasa haid dan melancarkan kitaran haid
  • Mencantikkan kulit muka
  • Membantu memulihkan pesakit kencing manis
  • Berupaya menghapuskan kahak
  • Memberi tenaga dan mencegah keletihan
  • Mencegah angin ahmar bagi warga emas
  • Meningkatkan peredaran darah
  • Mencegah dan merawat kanser
  • Membantu menstabilkan tahap kolestrol dalam darah
  • Membakar lemak dan mengurangkan berat badan
  • Membantu menguatkan sistem percernaan dan usus
  • Membantu mengurangkan alahan ibu mengandung
  • Membantu memberi tenaga untuk ibu mengandung dan menyusu
  • Membantu perkembangan otak bayi dalam kandungan
  • Membantu mendapat bayi yang sihat dan kulit yang cantik
  • Membantu mengurangkan batuk dan lelah
  • Membantu merendahkan dan menstabilkan tekanan darah
  • Membantu mencerdaskan minda dan daya ingatan kanak-kanak dan pelajar
  • Membantu membaik pulih sistem hati dan limpa
  • Membantu mencuci buah pinggang dan saluran kencing
  • Membantu menstabilkan hormon wanita yang menopous

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s